Misteri Kubur Wanita Mati Dibunuh Di Tengah Masjid
Mungkin ramai tertanya-tanya mengenai kubur yang berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di Bandar Lama, di Gua Musang, Kelantan. Ini kerana belum pernah ditemui di mana-mana masjid sama ada di dalam atau luar negara kubur orang awam berada dalam masjid. Kebanyakan mereka daripada kalangan ahli jemaah terutama yang datang dari luar daerah ini sudah tentu membuat pelbagai andaian tersendiri, berikutan tidak mengetahui sejarah sebenar yang berlaku apabila melihat kubur yang dianggap pelik itu. Diakui semakin sukar untuk menjejak sejarah serangan komunis di Bandar Gua Musang sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana kebanyakan orang lama yang asal tinggal di bandar ini telah meninggal dunia. Bagaimanapun, mujur masih ada rujukan menerusi catatan sejarah dalam diari mengenai serangan komunis itu yang ditulis sendiri bekas Penggawa Hulu Kelantan ketika itu, Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh. ...