Kenapa Umat Islam Bermusuhan?

 
Soalan ini datangnya daripada seorang yang beragama Buddha dari Phuket Thailand
Soalannya: Agama Islam adalah satu. Umat Islam yakin terhadap Tuhan yang satu. Rasul yang satu. Berpegang kepada Al Quran yang satu. Kiblat juga satu. Namun mengapa terjadi umat Islam berpecah belah, bersengketa, bermusuh malah berbunuhan?
 
Jawapan: Memang demikianlah sifatnya agama Islam, semuanya berada dalam kesatuan. Dari segi logiknya tentulah umat Islam sangat bersatu padu. Sepatutnya perpaduan umat Islam sangat teguh dan utuh. Namun pada realitinya logik itu tidak berlaku. Apa yang sepatutnya berlaku tidak menjelma. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. Sesama umat Islam amat sukar untuk duduk semeja, payah berunding, sukar bermuafakat, payah mencari kata sepakat, tidak seia sekata, tiada tolak ansur dan berlapang dada, tidak mahu saling berkongsi idea dan pendapat, tiada saling rasa bersama serta bekerjasama, tidak boleh berbeza pendapat dalam perkara khilaf dan ijtihadi. Natijahnya ialah umat Islam sering bersengketa dan berkrisis dari institusi yang paling kecil iaitu rumah tangga atau keluarga hinggalah kepada masyarakat, negara dan umat.
 
Misalnya dalam rumah tangga sering tidak serasi, tidak sefahaman dan tidak sehaluan. Dalam masyarakat pula boleh bertelingkah berpunca dari perkara yang remeh temeh dan titik bengik apatah lagi kalau berbeza fahaman politik. Berbeza fahaman politik sanggup bermusuh hingga ke tanah perkuburan ertinya sampai mati. Berbeza fahaman politik juga hingga ke tahap berbunuhan atau terjadi perang saudara. Buruk sungguh gambaran umat Islam pada mata dunia. Tidak langsung menggambarkan sebagai penganut agama Islam, agama wahyu yang selamat dan menyelamatkan, agama Allah swt yang serba sempurna dan serba indah. Umat Islam  kelihatan tidak berwibawa, tidak disegani, tidak dihormati, keindahan akhlak tidak menonjol. Paling malang, paling memalukan serta paling menjatuhkan maruah ialah apabila meminta orang kafir atau minta musuh Islam menyelesaikan masalah dalam negara Islam. Atau minta musuh Islam menjadi pendamai kepada krisis di antara umat Islam. Amerika tidak pernah jujur dalam mengatasi sengketa sesama negara Islam. Lebih-lebih lagi Yahudi. Sedangkan di belakang Amerika adalah Yahudi. Inilah bukti kedayusan atau kebaculan umat Islam sendiri. Bercakap mengenai kesyumulan Islam kelihatan amat hebat. Namun sering terjadi dalam megatasi masalah masyarakat Islam tidak sedikit pun merujuk kepada Tuhan dan ajaran Islam.
 
Demi menjelaskan situasi yang berlaku di kalangan umat Islam ini, dapatlah diringkaskan bahawa puncanya bukan terletak pada perbezaan keyakinan dan pegangan tetapi terletak pada perbezaan sikap dan amalan umat Islam. Keyakinan kepada Tuhan yang Esa itu adalah sama tetapi sikap, tahap ketaatan dan amalan kepada Tuhan itu yang berbeza. Keyakinan kepada Rasulullah saw itu memang sama tetapi sikap dan amalan dalam mengikut jejak Rasulullah saw itu yang berbeza. Keyakinan kepada Al Quran itu memang sama tetapi sikap dan mengamalkan isi Al Quran itu yang berbeza. Semua umat Islam tiada kiblat yang lain kecuali Kaabah Baitullah yang satu tetapi berbeza dalam sikap dan amalan kerana tidak sampai 30% yang mengerjakan solat yakni menghadap kiblat, selebihnya membelakangkan kiblat. Demikianlah seterusnya boleh dikiaskan persamaan keyakinan dan pegangan kepada semua Rukun Iman dan Rukun Islam tetapi berbeza dalam mempraktikkan Rukun Iman dan Rukun Islam tersebut. Melalui huraian secara umum ini sudah memadai memahamkan kepada kita semua faktor yang menjadikan umat Islam tidak bersatu dalam perpaduan yang kukuh dan utuh. Kerja atau peranan pihak yang mahukan umat bersatu padu telah melihat pernjelasan ini yang dapat menjadi bahan renungan dan berfikir serta juga sebagai matlamat yang hendak dicapai.
 
Akibat dari perbezaan sikap dan amalan itu seluruh umat Islam terbahagi kepada lima kategori. Ini tambah menjelaskan lagi mengapa umat Islam terlalu banyak ragam dan karenah. Betapalah andainya di kalangan umat Islam itu memang telah berbeza dalam persoalan pokok lebih-lebih lagi sukar untuk di satu padukan. Hakikat ini perlu juga diterima dan dipertimbangkan secara rasional supaya kita tidak menjadi terlalu idealis. Rasulullah saw sudah menggambarkan keadaan itu dengan sabda Baginda saw bermaksud,
 
‘Akan berpecah umatku kepada tujuh puluh tiga firqah. Tujuh puluh dua firqah akan masuk neraka, hanya satu masuk syurga iaitu ahli sunnah waljamaah.’
 
Firqah yang Rasulullah saw maksudkan itu adalah dalam aspek aqidah yakni dalam persoalan pokok. Terpisah dan tercerainya umat Islam dalam aspek pokok inilah yang lebih menyukarkan terjadinya perpaduan umat. Mungkin memang boleh berada di bawah satu bumbung namun hubungan hati tetap tidak kental atau tidak solid. Mungkin boleh berkawan tetapi bukan bersaudara. Sedangkan bersaudara atau ukhuwah islamiyah itu adalah ikatan hati hingga sanggup hidup bela membela hingga ke tahap bergalang ganti nyawa.
 
Lima kategori umat Islam sebagai membuktikan perbezaan sikap dan amalan iaitu:
 
  1. Siddiqqin.
  2. Muqarrabbin.
  3. Solehin.
  4. Fasiqin.
  5. Zholimin.
 
Generasi awal yang di istilahkan sebagai salafussoleh dahulu, rata-rata umat Islam berada dari kalangan tiga kategori teratas.
 
  1. Mereka sangat mengutamakan dan membesarkan Tuhan. Secara automatik mereka sangat mengutamakan dan membesarkan syariat Tuhan.
  2. Mereka takut kepada Allah swt. Secara automatik mereka menjadi baik.
  3. Mereka cinta kepada Allah swt. Secara automatik mereka berkasih sayang sesama manusia.
  4. Sikap dan amalan mereka amat mulia, berakhlak mulia, berwibawa, disegani dan dihormati.
  5. Allah swt jadikan manusia lain merasa gembira berada di bawah naungan umat Islam kerana ketika itu Umat Islam sendiri dinaungi oleh Allah yang maha agung.
 
Di sini memadai dihuraikan serba ringkas umat Islam yang berada pada kategori ketiga iaitu solehin. Kategori pertama dan kedua iaitu siddiqin dan muqarrabin sudah tentulah lebih hebat lagi. Siapakah orang soleh itu? Di antara ciri-ciri orang soleh itu ialah:
  1. Iman Ayan. Peringkat iman yang sudah dapat merasai bertuhan serta merasai kehambaan. Rasa bertuhan dan esa kehambaan itu tidak lekang dari hati nurani. Rasa atau perasaan itu yang mendidik hati dan jiwa hingga membakar musnah segala sifat mazmumah serta menyuburkan semua sifat mahmudah. Dan sekaligus dapat membina peribadi yang berakhlak mulia.
  2. Nafsu Mutmainnah. Buah dari rasa bertuhan dan rasa kehambaan itu juga mampu memiliki kekuatan menunduk dan menjinakkan nafsu. Mereka mencapai nafsu mutmainnah yakni nafsu atau keinginan atau kemahuan yang selari, selaras dan serasi dengan kehendak dan kemahuan Tuhan. Nafsu mutmainnah juga nafsu yang tidak goyah, tidak goyang dan tidak mampu diganggu gugat oleh sebarang pengaruh negatif. Mereka tenang dalam takutkan Allah swt mengatasi takutkan sesuatu selain dari Allah swt. Mereka tenang dalam cintakan Allah swt mengatasi cintakan sesuatu selain dari Allah swt.
  3. Ashabul Yamin. Di akhirat kelak mereka berada dalam golongan kanan. Mereka terjamin selamat dan tidak akan disentuh oleh api neraka. Hanya mereka lambat memasuki syurga kerana terpaksa menempuh hisab terlebih dahulu. Bagi orang muqarrabbin kena hisab itu juga satu seksaan kerana terlalu lambat memasuki syurga. Inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan, ‘Hasanatul abrar saiatul muqarrabbin.’ Yakni kebaikan kepada orang abrar itu adalah dosa bagi orang muqarrabbin. Sebab itulah dalam sikap dan amalan golongan muqarrabbin tidak meninggalkan khilaful aula. Ertinya dalam beramal mereka memilih yang lebih utama bukan dari segi hukum atau keharusannya.
  4. Al Abrar. Iaitu orang yang banyak berbuat kebaikan dan kebajikan. Ukuran banyaknya ialah dalam 24 jam sehari semalam, 18 jam mereka berada dalam kebaikan dan kebajikan. Baki 6 jam lagi mereka melakukan perkara harus. Secara tidak sengaja sekali sekala terjatuh juga kepada dosa-dosa kecil yang terlalu sedikit. Namun dosa yang kecil serta sedikit itu disegarakan minta ampun.
  5. Al Faizun. Orang soleh juga disebut oleh Allah swt sebagai al faizun atau orang yang mendapat kemenangan. Menang di sisi Allah swt bermaksud mendapat sesuatu atau mencapai perkara yang hendak diperolehi.
  6. Al Muflihun. Orang soleh disifatkan oleh Allah swt sebagai orang al muflihun atau mereka yang mendapat kejayaan. Berjaya di sisi Allah swt bermaksud dapat mempertahankan syariat lahir dan batin. Lahirnya berada dalam syariat Tuhan manakala batinnya pula tidak rosak oleh sifat mazmumah. Dapat mengekalkan sifat mahmudah. Bagi orang soleh kemenangan dan kejayaan ini tidak dapat dipisahkan. Allah swt beri kedua-duanya sekaligus. Allah beri menang dan berjaya. Ertinya mendapat atau mencapai sesuatu yang diusahakan dalam waktu yang sama terus kekal berada dalam syariat lahir dan batin selamat dunia dan akhirat. Sebagai contoh seseorang itu berjawatan tinggi. Ini menang namanya. Dengan jawatan tinggi itu dia bersyukur serta digunakan sebagai alat untuk mentaati Allah swt serta hatinya tidak putus dengan Allah swt. Ini berjaya namanya. Kalau berjawatan tinggi tetapi sombong ertinya menang tetapi gagal. Dapat kekayaan itu adalah satu kemenangan. Kejayaan beserta kemenangan itu ialah apabila dapat menggunakan kekayaan itu pada jalan Allah swt serta hati tidak rosak dengan kekayaan.
  7. Orang soleh sudah dikategorikan sebagai orang bertaqwa kerana sangat menjaga dan memelihara hubungan dengan Tuhan lahir dan batin. Biarpun berniat jahat itu tidak jatuh kepada dosa namun mereka bukan sahaja tidak berniat jahat kepada orang lain malah tidak terlintas untuk berniat jahat.
 
Orang soleh itu sikap dan amalannya amat baik secara keseluruhan yakni baik habluminallah sekaligus baik juga hablumminannas. Mereka baik hubungan dangan Allah swt serta baik hubungan dengan sesama manusia. Sikap dan amalan umat Islam di zaman ini rata-rata atau majoritinya dari kalangan kategori keempat dan kelima iaitu fasiqin dan zholimin. Hampir tidak terdapat orang soleh seperti sifat-sifat mereka disebut di atas tadi. Kalau ada pun seperti mencari gagak putih. Atau kalau ada pun, mereka itu tenggelam dalam gelombang golongan fasiqin dan zholimin. Golongan fasiqin dan zholimin memusuhi Tuhan dan Tuhan memusuhi mereka. Mereka melupai Tuhan dan Tuhan melupai mereka. Golongan ini dominan dalam masyarakat. Golongan ini yang mengatur, mencatur, mempengaruhi serta menjadi monitor kepada masyarakat. Mereka menjadi dicision maker dalam masyarakat. Mereka menjadi policy maker yang mencorakkan seluruh kehidupan masyarakat. Nafsu mereka yang dominan itu diterjemahkan dalam bentuk berleluasanya budaya nafsu.
 
Maka suburlah kejahatan dan perpecahan umat. Di tangan mereka inilah Tuhan timpakan musibah dan bencana dalam bentuk banyaknya maksiat, kemungkaran, perpecahan, bersengketa, bermusuh sesama umat Islam malah mencetuskan perang saudara. Mereka juga yang lantang menyuarakan mahu kepada kebaikan serta perpaduan. Namun tidak lebih dari ibarat tikus membaiki labu. Semakin mereka usahakan kebaikan semakin bertambah membiaknya kejahatan. Semakin diusahakan perpaduan semakin melebarnya perpecahan. Ini kerana golongan fasiqin dan zholimin ini nafsu yang lebih berperanan. Mana mungkin akan terjadinya kebaikan dan perpaduan kerana hasil usaha nafsu dan syaitan oleh orang fasiq dan zholim ini. Islam mereka selain tidak syumul juga tidak ada roh, hanya Islam kulit. Hasilnya ada yang baik hablumminallah sahaja tetapi cacat dan lemah pula hablumminannas. Ada yang baik Hablumminannas rosak dan cacat pula hablumminallah. Sampai bila pun tidak akan terjadi kebaikan dan perpaduan yang menyeluruh. Di sinilah betapa perlunya menukar masyarakat dari dominannya golongan fasiqin dan zholimin ini kepada golongan solehin.
 
Cukuplah difahami bahawa dua golongan ini adalah umat Islam yang pada diri mereka memiliki ciri-ciri berikut di antaranya:
  1. Iman mereka samada pada tahap iman taklid atau iman ilmu. Mereka yang beriman taklid atau iman ilmu hanya ikutan yang mewarisi agama Islam secara keturunan atau baka. Mereka langsung tidak mengenal Allah swt. Menurut pendapat ulama, iman mereka ini tidak sah atau tertolak. Mereka yang berada pada tahap iman ilmu pula iman mereka sah namun mereka hanya tahu tentang Tuhan tetapi tidak merasai bertuhan dan tiada rasa kehambaan. Selagi manusia ini tidak takutkan Tuhan selama itu mereka tidak akan meninggalkan maksiat dan kemungkaran. Selagi tidak mencintai Allah swt selama itu mereka tidak akan berkasih sayang sesama manusia. Munasabah umat Islam dewasa ini amat sukar untuk meninggalkan maksiat dan kemungkaran. Munasabah juga perpaduan umat Islam dewasa ini terlalu rapuh serta reput. Lantaran itu mereka masih merasa sedap dan lazat dalam melakukan maksiat. Mereka juga bukan sahaja tidak mampu memimpin orang lain malah tidak berupaya memimpin diri sendiri. Ibarat kepala keretapi yang tidak cukup power untuk menarik gerabak.
  2. Nafsu mereka samada tahap nafsu amarah atau nafsu lawwamah. Nafsu amarah yang sifatnya sangat menyanggah kehendak Allah swt. Natijahnya mereka bergelumang dengan dosa. Kalau pun mencapai nafsu lawwamah kerana berada pada tahap iman ilmu namun tidak terlepas dari dosa. Hanya sudah mampu menyedari terbuat dosa dan menyesal tetapi terus mengulangi perbuatan dosa dan maksiat. Apalah yang dapat diharapkan daripada mereka yang bernafsu liar ini untuk menjinakkan nafsu orang lain. Di akhirat kelak mereka berada dalam golongan kiri yang timbangan kejahatan jauh lebih berat berbanding timbangan kebaikan atau pahala. Terpaksalah menempuh hukuman neraka terlebih dahulu.
  3. Subur benih syaitan. Apabila Allah swt tidak ditakuti maka suburlah sifat syaitan. Syaitan hanya memiliki satu sifat sahaja iaitu sombong atau angkuh atau takabbur. Dari satu sifat angkuh atau takabbur itu akan beranak kepada berpuluh-puluh kejahatan lain. Semua sifat-sifat keji pada hati atau sifat mazmumah adalah bermula dari sifat syaitan iaitu sombong kepada Tuhan dan sombong kepada manusia. Di antara sifat sombong yang paling besar dan utama ialah tidak mahu menerima Tuhan dan kebenaran. Juga tidak menerima tunjuk ajar dan nasihat, tidak boleh ditegur serta tidak boleh berbeza pendapat.
  4. Subur benih haiwan. Haiwan tidak hiraukan Tuhan dan akhirat. Haiwan juga tidak mengenal undang-undang, peraturan dan disiplin. Hidup atas dorongan nafsu semata-mata. Prinsip hidup haiwan ialah makan minum, tidur, kahwin, bergaduh dan tidak pedulikan orang lain. Haiwan hidup sendirian biar pun berkelompok atau berkumpulan. Umat Islam yang berada dalam kategori fasiqin dan zholimin ini amat subur sifat-sifat syaitan dan sifat-sifat haiwan. Sebagai perbandingan, umat Islam yang fasiqin dan zholimin ini ibarat haiwan yang berada dalam satu kandang. Bayangkan singa, harimau, beruang, serigala, seladang, buaya, ular tedung, ular sawa, kerbau lembu, kambing, anjing, kucing, musang, biawak, ayam, itik, semua berada dalam satu kandang. Munasabah umat Islam amat sukar bersatu padu, sebaliknya asyik hendak menerkam, menanduk, mematuk dan menyengat mangsa masing-masing. Amat sukar dikawal kerana terlalu sering melanggar peraturan dan tidak berdisiplin. Masing-masing bersifat sombong, ego, individualistik serta sangat mementingkan diri sendiri.
 
Harapan masa hadapan. Memang ada janji Allah swt yang sebelum dunia dikiamatkan Islam pasti akan bangkit semula atau akan kembali gemilang sama seperti kebangkitan kali pertama. Tamadun material serta rohaniah akan mencapai kemuncaknya seiring,  serentak dan seimbang. Salah satu pencapaian kegemilangan Islam itu ialah ramainya golongan solehin bakal memanuhi bumi. Di sinilah perlu difahami. Ramainya golongan solehin itu bukan terjadi dengan sendiri atau berlaku secara magic melainkan melalui usaha yang gigih serta tepat. Semua pihak yang peka serta bercita-cita berada dalam mainstream kebangkitan Islam itu perlu menempuh jalan yang tepat ke arah menjadi orang soleh. Dari sekarang perlu bersikap mementingkan iman dan taqwa. Perlu berusaha meningkatkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan terutamanya rasa takut dan cinta kepada Allah swt. Perlu memahami aspek iman, Islam, ihsan dan taqwa. Apabila majoriti umat Islam berada pada kategori solehin atau juga orang mukmin dengan mudah sahaja kebaikan dapat ditegakkan serta dapat pula membina perpaduan yang utuh dengan mudah. Allah swt akan menjadi pemimpin, menjadi pembela, menjadi pelindung, memberi, membantu, memberi kemenangan dan kejayaan. Inilah rahsia kekuatan umat Islam. Kekuatan dari Tuhan yang Maha Agung dan Maha Kuat. Apabila Allah swt yang Maha Kuasa sudi menjadi pemimpin, pembela dan pelindung tiada satu kuasa pun yang dapat menghalang untuk umat isalam mencapai kegemilangan. Tidak seperti sekarang yang mana umat Islam sendiri menjadi musuh terhadap Tuhan.

related topics

  • Kita Adalah Penghibur
  • Pembunuh Pembunuh Jiwa
  • Di Sebalik Ibadah Korban
  • Bahayanya Tidak Ada Rasa Berdosa
  • Hendak Dapatkan Ditipu, Sudah Dapat Ditipu Pula
  • Madah Hatiku
  • HIDUP salafusoleh yang ANEH

  • Comments

    Popular posts from this blog

    Ini Senarai Ranking Tentera Terkuat Di Dunia, Malaysia Di mana?

    Apa Itu Ajaran Sesat TUHAN HARUN?

    Jasad Ariel Sharon Tak Diterima Bumi