Di Sebalik Ibadah Penyembelihan Haiwan Korban...
"Kemuncak dari segala pengorbanan dalam memperjuangkan Tuhan dan kebenaran ialah berkorban nyawa dan ganjaran mati syahid. Nyawa sendiri adalah suatu yang paling disayangi oleh semua manusia. Berkorban nyawa adalah kemuncak bukti kecintaan kepada Allah swt. Sebelum mampu mengorbankan nyawa untuk Tuhan dan agama maka perlulah terlebih dahulu menempuh latihan mengorbankan sesuatu yang kurang disayangi iaitu harta, tenaga, masa dan perasaan."
Kita semua tahu penyembelihan haiwan korban bermula dari perintah Allah swt yang diwahyukan kepada Nabi Ibrahim a.s supaya menyembelih anak lelaki kesayangan beliau iaitu Nabi Ismail a.s. Nabi Ibrahim telah patuh kepada perintah Allah swt tersebut. Demikian juga dengan Nabi Ismail. Bermula dari peristiwa itulah disyariatkan kepada Umat Islam sunat muaqqad melakukan ibadah korban dengan menyembelih haiwan pada 10 Zulhijah serta 3 hari tasyriq iaitu 11,12,13 Zilhijah. Pada 10 Zulhijah iaitu sehari selepas hari wukuf Umat Islam sunat mengerjakan solat dua rakaat iaitu Sunat Aidiladha. Selepas solat sunat itulah bermulannya dilakukan ibadah penyembelihan haiwan korban seperti unta, lembu, kerbau, kibas dan kambing.
Berikut adalah beberapa falsafah di sebalik ibadah penyembelihan haiwan korban:
- Ketaatan. Sebagai bukti ketaatan dan kepatuhan dengan melaksanakan perintah Allah swt biarpun terpaksa mengorbankan apa sahaja yang disayangi. Melalui cara itu baharulah kita benar-benar mengakui betapa diri serta semua yang kita miliki adalah hak mutlak milik Allah swt. Tiada milik kita, yang ada hanyalah semata-mata amanah dari Allah swt. Sesuai dengan kedudukanya sebagai amanah maka perlu diserahkan secara rela apabila sampai saat yang Allah swt meminta atau mengambilnya kembali. Itulah yang telah dibuktikan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Nabi Ibrahim dengan rela sanggup menyembelih anak beliau manakala Nabi Ismail pula rela menyerahkan lehernya untuk disembelih.
- Keikhlasan. Menyembelih haiwan untuk ibadah korban itu bukanlah daging dan darah yang dipersembahkan kepada Allah swt. Apa yang diterima oleh Allah swt ialah keikhlasan hati dan niat orang yang berkorban itu. Ikhlas ertinya suci murni dan tidak bercampur sedikit pun dengan sesuatu kerana yang lain atau tidak terselit sebarang kepentingan lain kecuali kerana Allah swt. Bukan mudah untuk mencapai tahap keikhlasan. Ianya perlukan bermula dengan mengenali Tuhan serta diikuti dengan latihan yang serius termasuk melalui penyembelihan haiwan korban. Orang-orang soleh dahulu tidak meninggalkan ungkapan, ‘Ilahi anta maqsudi waridhaka matlubi.’ Maksudnya, ‘Ya Allah hanya Engkau yang aku maksudkan dan keredhaan Engkau yang aku harapkan.’ Ungkapan pendek ini menjadi zikirullah bertujuan mengawal hati agar kekal ikhlas dalam segala hal, amalan dan pekerjaan.
- Pengorbanan. Penyembelihan haiwan korban itu hanyalah merupakan satu simbolik kepada berbagai bentuk pengorbanan yang Allah swt tuntut dari para hamba-Nya. Andainya difahami Umat Islam perlu melakukan berbagai jenis korban demi menegakkan kebenaran. Pengorbanan besar telah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para Sahabat hingga Allah swt dikenali oleh manusia dan agama Islam berkembang keseluruh dunia dan sampai kepada generasi kemudian. Perlu juga dihayati erti berkorban. Apabila disebut berkorban mestilah ada sesuatu yang kita rasa terkorban. Tanpa ada sesuatu yang yang kita rasa terkorban maka belumlah dikira berkorban. Sekiranya berkorban harta maka ada harta yang kita rasa terkorban. Sekiranya berkorban masa maka kita rasakan masa yang kita ada itu terkorban. Boleh kiaskan kepada banyak perkara lain lagi. Oleh itu berkorban bukan terhenti kepada penyembelihan haiwan korban setahun hanya sekali sahaja melainkan sepanjang masa dalam berbagai bentuk di antaranya:
- Harta. Allah swt amanahkan harta benda sebagai ujian yang sepatutnya singgah sebentar sahaja di tangan kita. Melalui tangan kita maka harta itu dikorbankan untuk menegakkan agama serta berbuat banyak kebajikan dan khidmat kepada manusia. Infak harta benda itu sesuai dengan hadis Rasulullah saw yang bermaksud, ‘Harta kamu ialah apa yang kamu makan hingga habis, apa yang kamu pakai hingga rosak dan apa yang kamu sedekahkan.’ Rasulullah saw juga sangat menggalakkan bersedekah melalui sabda yang bermaksud, ‘Carilah pelindung dari api neraka biarpun sekadar dengan memberi sebelah kurma.’ Para Sahabat berusaha setiap hari mendapatkan sesuatu untuk disedekahkan biarpun dalam keadaan diri sendiri tiada apa yang hendak dimakan.
- Tenaga. Tenaga yang Allah swt amanahkan itu tidak boleh disia-siakan melainkan untuk perjuangan Islam serta memberi manfaat kepada manusia.
- Masa. Masa yang berlalu biarpun sedetik tidak akan dapat dikembalikan lagi. Sepatutnya masa yang ada perlu dikorbankan untuk Tuhan dan kebenaran. Masa yang ada dalam sehari semalam wajar sering dihitung bagaimana masa itu digunakan. Bertanyalah kepada diri berapa banyak masa yang digunakan untuk Tuhan dan berapa banyak pula masa digunakan untuk lalai dan leka memenuhi kemahuan nafsu.
- Perasaan. Mungkin kita hanya pernah mendengar istilah berkorban perasaan tanpa memahami pengertiannya. Berkorban perasaan ertinya menahan dengan penuh derita dan kesabaran kerana manahan segala sifat mazmumah dari dilepaskan. Semua sifat mazmumah hendak ditahan, ditekan, ditelan, dibendung dan disekat dari keluar. Dalam waktu yang sama segala sifat mahmudah hendak dilepaskan. Andainya semua anggota masyarakat melakukan pengorbanan perasaan ini maka akan aman damai dan harmonilah kehidupan masyarakat dan negara.
- Nyawa. Kemuncak dari segala pengorbanan dalam memperjuangkan Tuhan dan kebenaran ialah berkorban nyawa dan ganjaran mati syahid. Nyawa sendiri adalah suatu yang paling disayangi oleh semua manusia. Berkorban nyawa adalah kemuncak bukti kecintaan kepada Allah swt. Sebelum mampu mengorbankan nyawa untuk Tuhan dan agama maka perlulah terlebih dahulu menempuh latihan mengorbankan sesuatu yang kurang disayangi iaitu harta, tenaga, masa dan perasaan. Menumpahkan darah haiwan dalam ibadah korban itu tidak menyakitkan kecuali hilangnya sedikit wang ringgit dan perasaan kedekut. Tentulah amat mudah bagi Umat Islam melakukan ibadah korban itu kalau dibandingkan dengan korban nyawa. Bagi mereka yang mampu wajarlah mengorbankan banyak haiwan kerana pengorbanan yang ringan dan sedikit itu.
Comments
Post a Comment