HENDAK DAPATKAN TERTIPU, SUDAH DAPATKAN TERTIPU PULA

 
 

Allah menjadikan dua kehidupan yakni kehidupan dunia dan akhirat. Terhadap kehidupan dunia, Rasulullah mengatakan ia adalah tanaman untuk akhirat. Ertinya di sini menanam, menuai hasilnya di akhirat. Kalau hasilnya baik, baiklah yang kita makan di akhirat. Kalau hasilnya tidak baik, tidak baiklah di akhirat. Kehidupan akhirat adalah kehidupan yang tidak ada usaha lagi, yang tidak ada perjuangan dan yang tidak perlu difikirkan lagi. Satu kehidupan yang tidak mencabar, yang tidak memerlukan tenaga.
Berlainan sekali dengan kehidupan di dunia yang menjadi ujian kepada manusia siapakah di kalangan mereka yang hendak jadi orang baik dan sebaliknya. Jadi kehidupan dunia penuh dengan usaha. Tidak ada usaha, tidak dapat dunia. Kehidupan dunia penuh dengan perjuangan. Tidak ada perjuangan, tidak boleh miliki dunia. Kehidupan dunia perlu gunakan akal fikiran. Kalau tidak gunakan fikiran, tidak boleh menguasai dunia. Penuh dengan cabaran. Tercabar dan mencabar. Kalau bukan begitu bentuknya, bukan dunia namanya. Sebab itu Rasulullah bersabda,
“Dunia itu negara bala dan ujian”.
Kehidupan dunia adalah kehidupan yang penuh dengan saingan. Hendak miliki dunia, terpaksa kerah segala tenaga yang ada. Tenaga fikiran, fizikal, roh dan nafsu. Itulah kehidupan dunia.
Dunia itu adalah kehidupan. Jadi oleh kerana dunia ini satu kehidupan, kena usaha, kena diperjuangkan, terpaksa cabar mencabar, terpaksa mengerah tenaga, sebab itu ia menjadi ujian yang besar kepada manusia. Bila dapat, datang sayang, sebab hendak dapatkannya susah. Sebab itu bila dapat, datang sayang, cinta, datang tamak, haloba, bakhil, megah, sombong, menzalim dan sebagainya. Sebab itu Rasulullah bersabda
“Cinta dunia itu ibu segala kesalahan”.
Dari kesalahan itu berbuahlah segala kejahatan, kemungkaran dan kezaliman yang lebih besar lagi. Jadi sedikit sangat manusia yang menjadikan kehidupan dunia, boleh diberi manfaat pada manusia lain, boleh berkhidmat, boleh melakukan keadilan, mengagihkan dan memberi kasih sayang sesama manusia. Kebanyakannya berlaku sebaliknya. Dengan cinta dunia itu timbullah perpecahan, krisis, peperangan dan lain-lain lagi. Akhirnya apa terjadi? Dunia dapat dimiliki tetapi kebahagiaan tidak dapat, hidup tidak harmoni, wujud ketakutan, berlaku berbagai bentuk jenayah dan berlaku peperangan. Walaupun orang yang kuat dengan dunia, ditakuti oleh manusia, mereka pun rasa susah hidupnya. Macam Bush, dia rasa dia raja dunia, dia rasa dia menguasai dunia, dunia dia punya, tetapi dia tidak senang. Pergi mana pun orang benci. Bukan sahaja dunia, rakyat pun benci. Padahal dunia, kekuasaan, kekayaan telah dimilikinya. Orang yang ada kuasa pun takut. Rakyat yang lemah pun takut. Dia mengganas sebab takut orang mengatasi kuasanya. Dia seolah-olah harimau yang sudah luka. Harimau yang sudah luka dia lebih garang daripada waktu ia tidak luka.
Jadi sangat sedikit orang yang pandai mentadbir dunia. Walaupun pandai mendapatkan hasilnya tetapi lebih banyak yang gagal. Sebab itu Allah sebut dalam Quran yang bermaksud:
Tidak ada kehidupan dunia itu melainkan tipu daya”.
Hendak dapat pun tertipu, sudah dapat pun kena tipu. Mentadbir pun ditipu. Sebab itu Allah mengingatkan di dalam ayat yang lain.
“Jangan sampai hidup di dunia itu menipu kamu”.
Orang yang lebih pandai hadapi dunia ini, anak kuncinya ialah kenal Allah. Apabila kenal Allah dari kecil, hingga Allah dihayati betul, mendarah daging akan lahir cinta dan takutkan Allah. Apabila mendapat dunia, dia tidak cintakan dunia. Dia boleh agihkan dunia kepada orang lain. Dia boleh lakukan keadilan dengan dunia. Dia boleh manfaatkan dunianya untuk orang lain. Dia boleh cetuskan kasih sayang dengan dunianya. Sedangkan orang yang tidak kenal, tidak takut dan tidak cintakan Allah, maka dia akan cinta dunia. Walaupun dapat sedikit. Apatah lagi kalau dapat banyak. Apabila sudah cinta dunia, lahir berbagai-bagai kejahatan. Dunia menipu dayanya. Padahal orang yang kenal Allah, cinta Allah, dia dapat dua-dua. Dunia dia dapat, dan dengan dunia itu dia dapat pahala. Dengan dunia itulah dia mendapat keredhaan Allah.
Dunia ini bukan hendak dicintai tetapi hendak ditadbir dengan baik mengikut kehendak Allah. Perkara itu tidak mungkin boleh berlaku kalau orang tidak cintakan Allah. Sebab itu dalam ajaran Islam ini, rukun iman sangat ditekankan. Cinta dan takutkan Allah itu ditekankan tetapi kita hanya belajar yang asas sangat. Hanya belajar rukun iman sahaja tidak akan mendatang takut dan cinta Allah sebab ia hanya asas. Itu hanya membezakan kita antara kafir dengan Islam. Pernah atau tidak, hasil belajar rukun iman itu, datang takut kepada Allah? Ada atau tidak di waktu belajar rukun iman itu, datang cinta kepada Allah?
Sebab itu Allah pesan, hendak perintah dunia mestilah bermula dengan takut dan cinta Allah. Kalau dunia sudah dicintai, bolehkah berkorban? Bolehkah kita adil? Bolehkah kita agih-agihkan? Bila sudah cinta, susah hendak beri. Sebab itu Allah ajarkan dengan dunia kena zuhud. Namun, zuhud itu disalah ertikan dengan miskin, compang-camping, makan satu lauk. Zuhud itu rohaniah. Hati tidak terpaut dengan dunia walaupun tangkai dunia ini dia yang memegangnya. Tidak jatuh hati pun. Zuhud itu bukan papa kedana. Milikilah dunia, tetapi tidak jatuh ke hati. Barulah senang hendak dikorbankan.
MILIKILAH DUNIA, URUSLAH DUNIA, TADBIRLAH DUNIA, ATAS CINTA ALLAH. INSYAALLAH LAHIRNYA KASIH
Create your own banner at mybannermaker.com!

Comments

Popular posts from this blog

Apa Itu Ajaran Sesat TUHAN HARUN?

Pegawai Bank Ambank Ditembak Mati Pengawal Keselamatan Yang Merompak

Ini Senarai Ranking Tentera Terkuat Di Dunia, Malaysia Di mana?