Monday, March 17, 2014

BN Tawar Kumpulan Rock Berserban Dan Berjubah



Usaha menampilkan kumpulan muzik sebagai tarikan ceramah dalam kempen pilihan raya kecil DUN Kajang turut menjadi tumpuan BN.

Parti berkenaan mengundang Alfarabi Band, satu kumpulan yang mempersembahkan lagu-lagu berentak keras di pentas ceramahnya di Metro Point, Kajang pada malam tadi.

Menurut jabatan penerangan Umno, kumpulan dianggotai seorang wanita berhijab dan empat lelaki berserban itu dipilih kerana mesej dakwah Islam dalam karya mereka.

"Mereka membawa konsep kesederhanaan tetapi mendakwahkan Islam melalui muzik.

"Ini menyegarkan semula kepercayaan Islam menerusi muzik," kata pegawai jabatan tersebut, Naseron Ismail ketika ditemui semasa persembahan kumpulan tersebut.

Persembahan tersebut diadakan di atas satu kontena mudah alih, dengan latar belakang yang dihiasi tulisan “Jihad music”.

Kumpulan itu turut mempersembahkan sebuah lagu nasyid klasik bertajuk Di Pondok Kecil, nyanyian asal kumpulan Nada Murni, yang digubah semula dengan irama metal.

Persaingan dengan mempersembahkan kumpulan muzik berentak keras ini muncul selepas Pakatan menampilkan lima orang bintang rock 90-an di pentas mereka dalam kempen tersebut.

Usaha untuk menampilkan hiburan menumpukan golongan muda ini dipercayai dijalankan untuk menarik semula tumpuan ke arah kempen.

Kempen pilihan raya umum ini, yang bermula pada 11 Mac dilihat kurang mendapat perhatian berbanding isu berhubung kejadian kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...