Ustaz Kazim: Kempen Sentuh Anjing Agenda Siapa?
SHAH ALAM - Kempen sentuh anjing yang kononnya untuk membuang stigma dan mengatasi persepsi negatif orang Islam dan Melayu terhadap haiwan itu sebenarnya adalah 'jarum halus' bagi menyuburkan fahaman liberal dan pluralisme di negara.
Pendakwah terkenal, Mohd Kazim Elias mendakwa kempen anjing anjuran seorang Islam itu merupakan satu gerakan untuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan ALLAH kepada penganutnya.
"Ini semua ada agenda halus untuk meliberal dan mempluralkan agama.
"Ianya gerakan yang cukup halus dan dimulakan dengan satu kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan merubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya.
"Kalau hendak dijadikan sebagai binatang peliharaan seperti kucing dan ayam dan lain-lain tidaklah boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan urusan ibadat seharian," katanya yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian mengulas kempen sentuh anjing "I Want to Touch a Dog" anjuran Syed Azmi Alhabshi di Central Park, Bandar Utama, Selangor, semalam.
Acara tersebut dianjurkan didakwa bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing.
Kempen itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim turut mempersoalkan penganjuran kempen tersebut dan kesal segelintir penganut Islam mudah terpedaya tanpa usul periksa.
"Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir umat Islam yang tidak cukup halus mata hatinya untuk meneliti....
"Berhati-hatilah dengan kempen sebegini, lepas kempen arak, mai anjing pula, lepas ni apa pula?
"Jangan lepas ini buat kempen babi pula dengan alasan bahawa babi sekarang sudah bersih dah diternak dalam aircond, yang mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabangsa," tegasnya.
Mengulas lanjut, Mohd Kazim menegaskan hukum memegang anjing sama seperti memegang babi yang telah diharamkan oleh ALLAH kepada orang Islam kerana kedua-dua haiwan itu bersifat 'mughallazah'.
"Mana boleh saja-saja bela, saja-saja hendak pegang. Sebab apa hendak pegang? Isu apa? Hendak jadikan anjing sebagai apa? Mula-mula pegang, lepas itu bela, lepas itu masuk dalam rumah!
"Binatang mughalazah ini macam babi jugalah mugahalazahnya, lepas ini buat la kempen pula pegang babi dengan melawat ke pasar babi lepas tu melarat ke makan babi pulak.
"Tidaklah salah pegang anjing, tapi apa sebabnya sampai buat kempen? Kenapa tidak buat kempen ke masjid, kempen menerima hudud atau kempen menerima konsep kalimah ALLAH," soalnya lagi.
Comments
Post a Comment