Apabila Allah Menguji

Benarkan, kadangkala hidup ini terlalu menguji kita? Kita merancang untuk segala yang baik-baik dan manis-manis dan kita merencana pelbagai cita-cita yang menggambarkan kebahagiaan. Namun tanpa kita sangka, jangka dan bayangkan, segalanya musnah sekelip mata.

Boleh jadi kita sedang merancang untuk sebuah perkahwinan yang manis dan membahagiakan. Telah kita berusaha sebaiknya. Segalanya kelihatan molek pada awalnya tetapi Allah itu mahu menduga, tiba-tiba kebahagiaan hilang sekelip mata. Kita merancang sebuah percutian terindah bersama keluarga, sedang kita bergembira tiba-tiba hadir berita duka. Kehilangan ahli keluarga atau insan tercinta. Subhanallah hebat ujian Allah swt.

Kita belajar bersungguh-sungguh dan kita cemerlang. Kita tamat belajar dan bergraduasi dengan meriah. Ibu bapa gembira bukan kepalang dan kita mengusung bangga kerana mampu mengukir senyuman pada wajah ayah bonda. Tiba masa mencari pekerjaan, hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan, rezeki pekerjaan tetap tidak kunjung tiba. Kita kecewa, kita sedih. Kita mula mengundang persoalan dan mengizin bisikan syaitan,“kenapa Allah buat aku begini?”

Sisters & Brothers yang disayangi kerana Allah swt,

Allah swt berfirman di dalam kitab tertinggiNya, Al Quran;

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’”. Surah Al-Baqarah: ayat 155-156.

Jelas sekali, Allah menguji tanda Allah sayang. Allah telah memberi ‘hint‘ bahawa Dia akan memberikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar apabila diuji dan diberikan cubaan oleh Allah swt. Kalimah ’Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’ itu sendiri membawa erti “Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali”. Namun, adakah kita, tatkala diuji selalu ingat untuk mengucapkan kalimah istirja’ ini?

Jika ‘ya’ jawapan kita, Alhamdulillahi rabbil ‘alamin. Kerana Allah menyambung firmannya di dalam Surah Al Baqarah ayat 157 yang bermaksud;

“Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk”.

Subhanallah. Maha suci Allah. Betapa hebatnya Allah mengatur ujian dan memberi jaminan tentang berkat dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya yang sentiasa ‘sedar diri’. Allah menguji kerana Allah sayang dan kasihkan hamba-hambaNya.

Ayuh sama-sama kita renungkan, andaikata hidup kita ini tiada diberi ujian, adakah kita akan membangun dan dewasa dalam kapasiti matang pemikiran? Adakah kita akan menjadi hambaNya yang tahu erti syukur? Atau kita hanya akan kalah jatuh terjelepuk dek godaan syaitan?

Maka dengan itu bersyukurlah. Janganlah kita kalah dengan sang syaitan yang sibuk mencucuk kita menimbulkan pertanyaan demi pertanyaan yang menggoncang iman seperti; “Kenapa susahnya aku nak dapat kerja berbanding orang lain? Walhal keputusan aku jauh lebih cemerlang! Kenapa?”, atau “Kenapa jodoh aku tidak kunjung tiba sedangkan akhlak aku jauh lebih baik daripada kawan-kawan yang telah berkahwin!”, atau “Kenapa aku perlu hadapi penceraian ini sedangkan aku dah cuba menjadi isteri/suami yang terbaik? Kenapa?” dan senarai persoalan berterusan.

Brothers & Sisters,

Andai ‘Mat Saleh’ sering mengungkapkan, “We are what we eat”, saya pula selesa menekankan “We are what we see”. Maka, pilihlah untuk melihat setiap ujian dan cubaan dari pandangan positif. Kita berhak memilih untuk berduka atau bergembira. Untuk menangis kecewa atau menangis syukur. Untuk marah kerana diuji atau bersabar apabila diuji. Untuk resah ataupun tenang. Kitalah yang membuat pilihan.

Setiap manusia unik dengan jalan hidup tersendiri. Allah swt menguji kita dengan ujian A, Dia uji Si Ahmad dengan ujian B, dan Dia turut menguji Si Minah dengan ujian C. Bezanya cuma kita, Ahmad dan Minah memberi reaksi pada ujian-ujian yang diturunkanNya dengan cara berbeza. Sama ada kita positif atau kita negatif, kita yang memilih. Benarkan?

Brothers & Sisters,

Tidaklah Allah swt menjadikan hidup kita untuk sia-sia. Setiap kejadian kita, setiap ujian yang perlu kita tempuh, pasti ada hikmahnya. Benar, dalam kekalutan minda dan kekusutan jiwa, jarang sekali dapat kita lihat apakah hikmahnya. Namun, percayalah hikmah itu sentiasa ada. Pandang dengan mata, kita kabur dan tidak akan nampak hikmahNya. Namun, pandanglah dengan mata hati, insyaAllah pasti akan jelas nampaknya hikmah yang tersembunyi.

Kerana Allah berjanji, Syurga itu adalah untuk orang yang sentiasa sedar diri akan di mana dia berdiri. Bahawa kita hanyalah sekadar hamba dan Dialah yang berhak mengatur, menguji segala-galanya. Ingatlah, kita hanyalah hamba yang berhak diuji. Dan percayalah, Dia menguji kerana Dia cintakan hamba-hambaNya yang sering alpa dan lupa ini. Hamba-hambaNya yang bernama ‘kita’ ini.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

Ini Senarai Ranking Tentera Terkuat Di Dunia, Malaysia Di mana?

Apa Itu Ajaran Sesat TUHAN HARUN?

Jasad Ariel Sharon Tak Diterima Bumi