Orang Yang Menjaga Solatpun Masih Berbuat Mungkar,kenapa?


Soalan:
Allah sebut dalam Al Quran yang bermaksud, ‘Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.’ Realitinya mengapa kurang berlaku dalam masyarakat Islam seperti yang Allah swt maksudkan itu. Ini terbukti di mana mereka yang solat pun masih berbuat keji dan mungkar. Tolong perjelaskan. Abd Wahab bin Abd Samad, Kuala Kangsar Perak.

Jawapan:
Alhamdulillah dan terima kasih. Jaminan Allah swt itu pasti terjadi. Lebih-lebih lagi dalam firman Allah swt itu dimulakan dengan kalimah, ‘Sesungguhnya’ yakni satu kalimah penegasan bahawa solat itu dapat mencegah seseorang itu dari berbuat jahat. Sekiranya tidak berlaku malah sebaliknya masih solat tetapi jahat juga menandakan orang yang solat itu tidak memenuhi syarat-syarat solat yang sebenar. Atau juga solat yang tiada penghayatan. Sebab itu Allah swt juga ada memberi peringatan keras dengan maksud, ‘Neraka Wail bagi mereka yang solat yang lalai dalam solatnya.’ Ini bererti Allah swt turut menggambarkan adanya orang yang solat tetapi dimasukkan ke dalam neraka. Kedua-dua golongan ini adalah mereka yang sama-sama solat, bukan tidak solat. Sekiranya tidak menunaikan solat memanglah habuan nerakanya amat dahsyat. Termasuk peringatan Rasulullah saw dengan sabda Baginda saw bermaksud, ‘Barang siapa yang meninggalkan solat dengan sengaja akan jadilah ia kafir yang nyata.’

Solat bukan sahaja dapat mencegah dari berbuat jahat malah dapat medidik jiwa, membina peribadi agung serta mencapai kejayaan dunia akhirat. Bagi menjawab soalan tuan supaya solat menjadi benteng dan perisai dari melakukan kemungkaran, di sini saya turunkan secara ringkas dan secara umum bagaimana solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.

  1. Mencapai tujuan solat. Secara umumnya setiap ibadah merupakan perintah Allah swt kepada para hamba. Beribadah ertinya sebagai tanda atau bukti para hamba itu menyembah dan mengabdikan diri kepada Allah swt. Namun setiap ibadah itu terdapat tujuannya yang khusus dan berbeza antara satu jenis ibadah dengan yang lain. Solat adalah panggilan Allah swt untuk para hamba-Nya mengadap Allah dengan tujuan supaya para hamba merasai kehambaan dalam solat itu. Rasa hamba itu ialah segala rasa yang selayaknya bagi hamba kepada Allah swt. Perasaan kehambaan itu seperti rasa takut, bimbang, cemas, dhaif, lemah, rasa hina, rasa berdosa, bersalah, harap, meminta, rasa dikuasai, dilihat, diketahui dan berbagai rasa lagi. Dari rasa kehambaan itu akan terbakar musnahlah segala sifat-sifat mazmumah atau sifat keji seperti sifat sombong, ego, pemarah, riya, sum’ah, kedekut, hasad, iri hati, ujub, mengumpat, adu domba, menghasut, benci membenci dan berbagai lagi. Andainya dalam solat, di saat seorang hamba itu benar-benar mengadap Allah swt tetapi tidak mencapai tujuan iaitu merasai kehambaan yang sekaligus membakar sifat mazmumah betapalah di luar solat. Munasabah orang yang solat masih berbuat keji dan mungkar kerana solatnya tidak mencapai tujuan.
  2. Memahami serta merasai kebesaran solat. Terdapat berpuluh ciri kebesaran solat diantaranya,
    • Tiang agama
    • Ibu segala ibadah
    • Ibadah paling utama
    • Ibadah yang Allah serah secara langsung kepada Rasulullah saw
    • Semua ibadah para Malaikat ada dalam solat
    • Gabungan ibadah fizikal, lisan dan hati
    • Mengandungi berbagai jenis zikir
    • Mengandungi berbagai jenis doa
    • Merupakan mikraj orang mukmin
    • Amalan para Rasul terdahulu. Dan banyak lagi.
    Memahami dan menghayati kebesaran solat ini memberi kesan kepada mendidik hati dan jiwa seseorang. Ertinya solat merupakan satu ibadah yang mendidik diri hingga meningkatnya iman dan taqwa.
  3. Menghayati dan menjiwai solat. Bermula dari takbir hingga akhirnya salam, seluruh bacaan, lafaz dan ungkapan dalam solat itu mengandungi pengertian dan maksud yang amat memberi kesan kepada jiwa. Syaratnya seluruh lafaz, bacaan dan ungkapan dalam solat itu difahami pengertiannya yang tersurat dan tersirat serta dihayati semua tuntutannya. Ambil satu contoh kalimah takbir ketika memulakan solat sera semua kalimah takbir intaqalat dalam solat. Kalimah takbir Allahu Akbar yang bermakna Allah Maha Besar. Dalam kalimah Allah Maha Besar itu terhimpunnya semua sifat-sifat Allah swt. Orang yang benar-benar tahu, memahami, menghayati, menjiwai serta dapat merasakan kebesaran Allah swt dengan kalimah Allahu Akbar itu sahaja sudah cukup menggetarkan hati kerana merasa betapa kecil, hina dan kerdilnya diri sebagai seorang hamba. Demikianlah erti menhayati dan menjiwai seluruh bacaan dalam solat. Termasuk juga menghayati segala perbuatan berdiri tegak, rukuk sujud dan lain-lain.
  4. Khusyuk dalam solat. Khusyuk bukan dua atau tiga takrif sahaja melainkan gabungan berbagai unsur perasaan yang ada sepanjang mengerjakan solat yang diantaranya,
    • Berjiwa tauhid yang tidak lekang dihati dengan maksud benar-benar merasai bertuhan di luar solat serta di dalam solat
    • Merasai kehambaan terutamanya rasa takut dan rasa cinta kepada Allah di luar serta di dalam solat
    • Memahami dan bukan setakat tahu makna bacaan dalam solat
    • Merasai Allah swt sedang melihat segala zahir dan batin ketika mengerjakan solat itu
    • Hati asyik dalam merasai kebesaran Allah swt dalam waktu yang sama akal fikiran menyorot segala pengertian bacaan dalam solat.
  5. Menjaga dengan serius segala syarat rukun, sah batal, adab serta disiplin solat zahir dan batin. Segala sunat-sunat yang berkaitan dengan solat hendaklah diamalkan. Biar pun perkara-perkara sunat itu tidak diberatkan bagi mereka yang bersungguh-sungguh mahu menjaga hubungan dengan Allah swt maka perkara-perkara sunat itu dititik beratkan. Ini kerana amalan sunat itu dapat menampung segala cacat cela dan kekurang dalam perkara wajib. Tentulah kita akui yang solat kita dipenuhi dengan cacat cela. Oleh itu kerjakanlah amalan sunat demi menampal segala kekurangan solat termasuk melakukan solat sunat qabliyah dan ba’diyah.

Comments

Popular posts from this blog

Ini Senarai Ranking Tentera Terkuat Di Dunia, Malaysia Di mana?

Apa Itu Ajaran Sesat TUHAN HARUN?

Jasad Ariel Sharon Tak Diterima Bumi