Saturday, October 5, 2013

PEPERANGAN MU'TAH: Sejarah dan Pengajaran


PENDAHULUAN
Perang Mu`tah berlaku pada bulan Jamadil Awwal tahun 8H bersamaan bulan Ogos atau September 629M. Mu`tah ialah ssebuah kampong yang terletak di daerah Balqa` yang berada di dalam negeri Syam. Negeri Syam ialah jajahan takluk empayar Rom yang ketika itu diperintah oleh Maharaja atau Kaisar Hercules.

Maharaja Hercules sebelum ini pernah mendapat risalah daripada Rasululullah SAW untuk memeluk Islam akan tetapi baginda menolak kerana lebih menyayangi kekuasaannya.

Hercules takut kuasanya sebagai maharaja jatuh kerana memeluk Islam walaupun mengetahui kebenaran Islam. Perang ini merupakan pertembungan pertama tentera Islam dengan tentera Rom. Ianya juga merupakan pertembungan kali pertama tentera Islam di luar negeri Hijaz (kini dikenali sebagai Arab Saudi).

PUNCA BERLAKU PEPERANGAN MU'TAH

Rasulullah SAW telah menghantar seorang utusan iaitu Al-Harith bin Umar Al-Uzdi kepada pembesar di Busra, Syam. Gabenor daerah Banu Balqa` iaitu Syurahbil bin Umar Al-Ghassani telah menangkap utusan Rasulullah SAW dan diserahkan kepada Kaisar Rom. Utusan Rasulullah SAW kemudiannya dibunuh dengan cara lehernya dipancung.

Tindakan membunuh utusan tindakan tersebut merupakan suatu jenayah dan seakan-akan pengisytiharan perang terhadap kaum Muslimin. Oleh itu, baginda Rasulullah SAW telah mengerahkan tentera Islam untuk memerangi kezaliman Kaisar Rom.

KEKUATAN UMAT ISLAM

Bilangan Tentera: 3000 orang

Pemimpin:
Zaid bin Harithah
Jaafar bin Abi Talib
Abdullah bin Rawahah
Khalid bin Al-Walid
Qutbah bin Qutadah Al-Uzri
Ubadah bin Malik Al-Ansari

- Persenjataan: Kurang Kelengkapan
- Kematian: 12 orang tentera

KEKUATAN MUSUH ISLAM

Bilangan Tentera:
- 100 000 tentera Rom
- 100 000 tentera kabilah Arab di Syam iaitu Lakham, Juzman, Balqin, Bahra`a dan Bila

- Pemimpin:  Syurahbil bin Umar Al-Ghassani (Panglima Rom)
- Kelengkapan: Serba lengkap
- Kematian: Tidak dapat dikenalpasti

URUTAN PERISTIWA

1. Utusan Rasulullah SAW ke negeri Syam iaitu Al-Harith bin Umar Al-Uzdi telah dibunuh oleh Kaisar Rom
setelah ditangkap oleh Gabenor Bani Balqa`, Syurahbil bin Umar Al-Ghassani.

2. Rasulullah SAW mengerahkan kekuatan terbesar tentera Islam sejak Perang Ahzab seramai 3000 tentera
untuk berdepan dengan tentera Rom. Zaid bin Harithah, anak angkat baginda menjadi panglima perang.

2. Baginda berpesan Jaafar bin Abi Talib akan menggantikan Zaid bin Harithah jika beliau syahid. Abdullah
bin Rawahah akan menggantikan Jaafar bin Abi Talib jika beliau syahid.

3. Tentera Islam bergerak sehingga ke utara Hijaz dan singgah sebentar di Maan sebuah daerah Syam
selama 2 hari.

4. Hasil perisikan tentera Islam mendapati bahawa tentera Rom sudah berada di Maab, daerah Balqa`.

5. Kekuatan mereka dianggarkan seramai 200 000 orang. Tentera Islam mula bermesyuarat untuk mengatur strategi.

6. Cadangan untuk menunggu bantuan daripada Madinah ditolak Abdullah bin Rawahah. Beliau mencadangkan supaya tentera Islam terus mara ke barisan hadapan. Pilihannya sama ada menang dengan kemuliaan atau mati syahid. Cadangan beliau dipersetujui semua orang.

7. Tentera Islam mara ke Balqa` dan bertembung dengan segerombolan tentera Rom di Masyarif. Tenteramusuh cuba mendekati tentera Islam. Tentera Islam seterusnya menuju ke kawasan yang dikenali sebagai Mu`tah.

8. Strategi disusun. Sayap kanan tentera Islam dipimpin oleh Qutbah bin Qutadah Al-Uzri dan sayap kiri dipimpin oleh Ubadah bin Malik Al-Ansari.

9. Perang pun berlaku dengan sengit. 3000 tentera Islam merempuh 200 000 tentera Rom dengan keazaman jihad yang tinggi dan bercita-cita untuk mati syahid di jalan Allah.

10. Zaid bin Harithah yang memegang panji perang Islam syahid terkena tikaman musuh. Jaafar bin Abi Talib
menggantikan beliau.

11. Jaafar bin Abi Talib turun dari kudanya lalu membunuh kudanya untuk mengelakkan gangguan kerana rasa berat berpegang dengan kudanya. Beliau memegang panji menggantikan Zaid bin Harithah.

12. Jaafar bin Abi Talib setelah syahid terputus kedua belah tangannya. Badan beliau terdapat kesan lebih 50 tikaman pedang dari sebelah hadapan. Riwayat Ibnu Umar menyatakan 90.

13. Abdullah bin Rawahah yang menggantikan beliau juga syahid.

14. Thabit bin Arqam, seorang tentera Islam dari Banu Ijlan memegang panji Islam sambil melaungkan seseorang perlu dipilih untuk memegangnya.

15. Khalid bin Al-Walid telah dipilih oleh tentera Islam untuk menjadi panglima. Perang terus berkecamuk.

16. Perang berhenti seketika buat hari tersebut. Khalid bin Al-Walid menyusun semula strategi baru. Beliau merasakan bahawa tentera Islam yang sangat kekurangan dari segi kuantiti tentera agak sukar untuk mengalahkan tentera Rom. Oleh itu, beliau merancang untuk membuat tipu helah bagi memperdayakan musuh.

17. Keesokan harinya, selepas Subuh beliau mengarahkan barisan hadapan ke belakang dan belakang ke hadapan. Barisan ke kiri ke kanan dan barisan kanan ke kiri.

18. Tentera Rom merasa ketakutan kerana menyangka bantuan telah tiba kepada tentera Islam. Semasa pertempuran berlangsung tentera Islam berundur perlahan-lahan ke barisan belakang.

19. Tentera Rom tidak memburu tentera Islam sebaliknya berundur kerana menyangka tentera Islam telah menyediakan perangkap di padang pasir. Oleh itu, tentera Islam berjaya berundur dengan selamat dan menewaskan tentera Rom.

20. 12 tentera Islam syahid sementara korban tentera Rom tidak diketahui tetapi dianggarkan tinggi.

21. Tentera Islam pulang ke Madinah. Kedengaran suara-suara yang mengkritik bahawa kepulangan mereka sebagai suatu tanda kekalahan. Rasulullah SAW berkata bahawa mereka bukanlah orang yang lari akan tetapi mereka akan menyerang semula dengan izin Allah.

HIKMAH DAN PENGAJARAN

1)T entera Islam yang berjuang dalam Perang Mu`tah berjuang kerana menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Mereka juga bercita-cita untuk mati syahid atau mencapai kemenangan. Tentera Rom dan musyrikin Arab yang menghadapi mereka merasa ketakutan kerana mereka berhadapan dengan tentera yang bercita-cita untuk mati sedangkan mereka cintakan kehidupan dunia yang fana`.

Semangat jihad para sahabat Rasulullah SAW memang tidak diragui lagi apabila Abdullah bin Rawahah mahukan tentera Islam terus mara merempuh musuh walaupun mengetahui kekuatan musuh yang terlampau kuat. Beliau bermadah semasa perang berkecamuk:

“Duhai jiwaku aku bersumpah,
Kau pasti menghadapi kerelaan cabaran,
Kiranya sudah orang mencapainya,
Kenapa kau berlengah,
Membenci syurga Allah…”


Begitu juga dengan tentera Islam lain yang terlibat. Mereka tidak merungut dan bercadang supaya berundur atau menyerah kalah akan tetapi terus merempuh barisan hadapan. Oleh itu, dapat kita perhatikan di sini bahawa kefahaman yang sahih dan padu perlu ditanam dalam hati para pejuang Allah sebelum mara ke medan perjuangan.

Para sahabat yang terlibat dalam perang bersama Rasulullah SAW telah melalui proses tarbiyah yang baik. Tarbiyah merupakan sumber kekuatan utama para pejuang Allah. Tanpanya, pejuang Allah pasti akan merasa putus asa dan lari dari perjuangan. Tarbiyah juga memberi kefahaman mengenai matlamat para pejuang Allah.

2)Bantuan Allah pasti tiba. Allah Taala telah berfirman:

“Sesungguhnya Aku bersama-sama kamu, maka tegakkanlah pendirian orang-orang yang beriman, kelak Aku akan menjatuhkan perasaan takut ke dalam hati-hati orang kafir”. Surah Al-Anfal ayat 12.

Allah juga menjamin kekalahan orang kafir.

“Kumpulan mereka yang bersatu itu tetap akan dikalahkan dan mereka pula akan berpaling lari”. Surah Al-Qamar ayat 45

Kemenangan umat Islam adalah sesuatu yang pasti kerana ia adalah jaminan Allah. Umat Islam perlu bersabar dalam menghadapi arus cabaran yang semakin hebat.

3)Pesanan Rasulullah SAW dalam memilih pemimpin menjadi dalil bahawa seseorang khalifah atau pemimpin boleh melantik amir atau ketua dalam kumpulan mengikut tertib.

4)Umat Islam boleh berijtihad dalam memilih pemimpin. Pemilihan Khalid bin Al-Walid sebagai panglima perang merupakan ijtihad para sahabat yang terlibat sebagai tentera ketika itu.

5)Rasulullah SAW menangis ketika mengetahui ada sahabat yang syahid. Baginda menangis sebagai satu tabiat kasih sayang manusia dan bukanlah menolak qada` dan qadar Allah Taala. Ini adalah baginda mengasihi para sahabat yang telah syahid.

6)Diriwayatkan bahawa Jaafar bin Abi Talib yang terputus tangannya lalu syahid. Allah telah menggantikan tangannya dengan 2 sayap yang membolehkan beliau terbang ke mana sahaja di dalam syurga Allah. Beliau digelar “Jaafar At-Tayyar” dan “Jaafar Zuljanahain”. Ganjaran kepada para syuhada` sangat besar nilainya.

7)Perang ini merupakan permulaan serbuan ke bumi Syam. Kempen pembukaan bumi Syam telah berlaku selepas kewafatan Saidina Abu Bakar As-Siddiq iaitu pada zaman Saidina Umar bin Al-Khattab sebagai khalifah kedua. Beliau mengerahkan tentera Islam ke Syam, Parsi dan Mesir. Pertembungan Islam dan Rom sangat panjang dan berlaku selama beberapa abad. Rom secara rasminya ditewaskan oleh kerajaan Uthmaniyah di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh apabila baginda berjaya menawan Konstantinopel.

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"
"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...