Lelaki di Kuala Kangsar Telah Makan Bedak Dan Sabun Sejak 17 Tahun
KUALA KANGSAR: “Bagi orang lain, perbuatan ini dianggap tidak masuk akal dan boleh menjejaskan kesihatan, tapi bagi saya ia menjadi menu harian sejak 17 tahun lalu,” kata Mohd Razali Ishak, 63, yang mempunyai tabiat luar biasa apabila menjadikan sabun mandi dan bedak sebagai makanan kegemarannya.
Bapa kepada sembilan anak yang juga bekas penoreh getah itu berkata, pada mulanya dia hanya makan bedak, namun menambah ‘menu’ eksotiknya dengan memakan sabun mandi sejak tujuh bulan lalu.
“Saya mula makan sabun mandi selepas tertarik melihat bentuk dan baunya. Selepas menggigit sedikit cebisannya, saya rasa ia begitu enak dan sejak itu mula menjadikannya makanan harian.
“Sejak tujuh bulan lalu, saya mula makan bedak talkum pula, juga kerana saya suka baunya yang harum. Kini saya mampu menghabiskan dua atau tiga botol bedak 100 gram sehari,” katanya ketika ditemui di rumah anaknya di Padang Rengas di sini, semalam.
Segelintir penduduk yang mendapat tahu mengenai minat pelik warga emas itu yang tinggal di Kuala Lipis, Pahang pada mulanya beranggapan Mohd Razali tidak waras.
“Saya akui pada beberapa tahun pertama dulu bukan saja jiran sekampung, malah anak-anak termasuk isteri mengatakan saya gila.
“Selepas gagal meyakinkan mereka, saya membuat keputusan pergi menjalani pemeriksaan di sebuah hospital dan keputusannya mengesahkan saya waras,” katanya. Dia yang berasal dan tinggal di Sungai Temau, Kuala Lipis berkata, sehingga sekarang, dia masih tidak tahu punca dan kenapa dia memiliki tabiat pelik itu.
“Sudah ribuan kali saya ditanya soalan ini, tapi saya sendiri tidak tahu jawapannya. Ia masih menjadi misteri bagi saya dan keluarga. Tabiat ini bukan sengaja diada-adakan untuk mencari publisiti kerana tiada sebab untuk saya buat begitu,” katanya.
Bagaimanapun, Mohd Razali tidak menolak kemungkinan ia ada berkaitan dengan unsur mistik kerana pernah menemui pengamal ilmu perubatan tradisional dalam usahanya menghentikan tabiat ini.
Katanya, usahanya itu selepas gagal mendapatkan jawapan daripada doktor bertauliah, juga menemui jalan buntu menyebabkan dia berserah segala-galanya kepada Tuhan.
“Isteri (Rohani Yusup, 57,) dan anak-anak sudah berputus asa menasihatkan saya supaya berhenti. Malah, isteri pernah cuba meletakkan tepung gandum dalam bekas bedak kerana bimbang saya jatuh sakit kerana makan bedak setiap hari.
“Namun, usaha itu gagal kerana saya dapat membezakan rasanya. Saya tidak tahu bagaimana menjelaskan perasaan saya ketika makan bedak dan sabun, tetapi jika sehari tidak menjamahnya, saya gelisah seperti ada sesuatu tidak kena,” katanya. Sementara itu, anak Mohd Razali, Roslinda, 32, berkata, dia dan adik beradik lain sudah letih menasihatkan bapa mereka supaya berhenti mengamalkan hobi pelik itu.
“Kami percaya ayah menjadi begini akibat terkena buatan orang menggunakan sihir atau ilmu hitam. Justeru, saya berharap jika ada pihak boleh membantu merawat penyakit ‘unik’ ayah ini.
“Kami tidak mahu ayah meneruskan tabiatnya makan bedak dan sabun mandi kerana bimbang bakal memudaratkan lagi keadaan kesihatannya yang semakin uzur sekarang,” katanya.
Comments
Post a Comment