Gelabah

(berikut adalah catatan pengalaman menarik seorang pendakwah bebas semasa dimasukkan ke wad kecemasan)
 
28 Disember 2007 saya ditimpa sakit teruk dan dimasukkan ke wad kecemasan sebuah hospital kerajaan. Adik beradik serta saudara mara yang menziarahi telah melihat saya sudah seperti mayat. Saya sendiri tidak menyedari yang saya sudah berada di wad selama dua hari dua malam. Apa yang menghairankan ialah setelah dua hari dua malam pihak hospital tidak dapat menjelaskan apa penyakit saya. Anak lelaki saya telah memindahkan saya ke sebuah hospital pakar. Saya dimasukkan ke wad ICU. Hanya setengah jam sahaja selepas dimasukkan ke wad, pihak hospital memaklumkan yang saya mengalami sakit buah pinggang kronik.
September 2011 saya terjatuh di rumah yang menyebabkan kecederaan di bahagian lutut kiri. Saya dibawa masuk ke wad kecemasan sebuah hospital kerajaan. Setelah dibuat enam keping x-ray pihak hospital memaklumkan yang tulang lutut saya retak. Selepas itu disimen dari hujung peha hingga ke hujung betis. Malam pertama di rumah dengan peha hingga betis bersimen saya mengalami gatal yang teruk. Tiada jalan lain kecuali terpaksalah menggunakan gergaji besi untuk membuka kembali simen itu. Setelah dibuka saya merasa lega kerana dapat merawat gatal saya itu. Keesokan pagi saya pergi ke hospital pakar. Setelah diambil hanya dua keping x-ray, pihak hospital memaklumkan tiada sebarang keretakan pada tulang lutut saya. Doktor pakar yang merawat mengatakan hanya perlu mengeluarkan darah beku di bawah tempurung lutut. Setelah darah beku itu disedut keluar saya rasakan perbezaannya, 50% kesakitan bahagian lutut itu telah hilang. Doktor pakar tulang itu menyatakan kalau darah beku itu tidak dikeluarkan kemungkinan saya akan mengalami kesakitan berpanjangan kerana darah itu akan membusuk. Doktor memberikan sekeping nota untuk membuat rawatan susulan di mana-mana hospital. Saya memilih untuk kembali mendapatkan rawatan susulan di hospital pakar. Apa yang pihak hospital lakukan seterusnya ialah membuat Ultra Sound dan MRI. Keputusan dari Ultra Sound dan MRI mendapati hanya ligamen lutut saya yang koyak dan tiada sebarang keretakan tulang. Kalau saya mahu doktor mencadangkan buat pembedahan untuk menggantikan ligamen yang koyak itu dengan ligamen tiruan.
Saya coretkan dua-dua kes yang menjadi pengalaman saya ini bukan bertujuan mempertikaikan professionalisma kedoktoran di hospital kerajaan itu. Kemahiran doktor di hospital kerajaan dengan hospital pakar mungkin tidak jauh perbezaannya. Kemungkinan perbezaan dari sudut kelengkapan peralatan yang mereka ada. Di sini saya hanya mahu menyatakan betapa menggelabahnya saya ketika itu. Bagaimana boleh berlaku kesilapan yang agak ketara hingga demikian. Kes pertama mengapa setelah dua hari dua malam berada di wad masih tidak pasti apa jenis penyakit yang saya alami. Kes kedua ialah membalut simen kepada tulang lutut yang tidak patah serta tidak pun retak. Bagaimana kalau saya terus bertahan dalam keadaan darah beku di bawah tempurung lutut itu tidak dikeluarkan. Di sebalik gatal yang teruk hingga saya membuka sendiri simen itu ada hikmah besar di sebaliknya.

Create your own banner at mybannermaker.com!

Comments

Popular posts from this blog

Ini Senarai Ranking Tentera Terkuat Di Dunia, Malaysia Di mana?

Apa Itu Ajaran Sesat TUHAN HARUN?

Jasad Ariel Sharon Tak Diterima Bumi